Apa kes....
Bigfoot didakwa muncul dekat Air Terjun Kota Tinggi
KOTA TINGGI 7 Nov. – Selepas beberapa bulan isu Bigfoot menyepi, pekerja sebuah ladang getah berhampiran pusat peranginan Air Terjun Kota Tinggi dekat sini hari ini, mendakwa mereka diganggu oleh makhluk itu.
Dakwaan itu dibuat berikutan penemuan kesan tapak kaki di sekitar rumah kongsi yang didiami mereka dipercayai milik Bigfoot berdasarkan bentuk dan saiznya.
Tinjauan Utusan Malaysia di tempat kejadian mendapati terdapat lebih 20 kesan tapak kaki yang masih baru selain pagar kawat yang rosak serta anak pokok patah dipercayai menjadi laluan Bigfoot.
Miswan Asmun, 20, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam tadi ketika dia hendak membuang air kecil.
‘‘Saya amat terperanjat apabila terdengar bunyi seperti orang berjalan sambil berdengus. Pada masa yang sama, kedengaran bunyi daun serta dahan patah di kawasan belukar di belakang rumah kongsi yang kami duduki.
‘‘Suasana di luar (kongsi) ketika itu semacam kelam kabut kerana kedengaran bunyi bising monyet dan burung berterbangan seolah-olah diganggu sesuatu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dia dan rakan-rakannya hanya mampu mendiamkan diri sambil bersiap sedia untuk lari ke tempat selamat jika keadaan menjadi berbahaya.
Katanya, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sepanjang mereka tinggal di rumah kongsi berkenaan sejak tiga bulan lalu.
Sementara itu rakannya, Sukardi Sahib, 22, berkata, dia percaya kesan tapak kaki yang terdapat di sekitar rumah kongsi itu bukannya tapak kaki manusia atau gajah kerana bentuk dan saiznya amat berbeza sekali.
‘‘Kalau binatang liar atau gajah, sudah tentu pagar kawat ini akan putus atau diseret jauh. Sebaliknya pagar kawat ini seolah-olah seperti diregang dan ditumbangkan,” katanya lagi.